Saturday, March 1, 2014

Bertatih Melebarkan Sayap

 
BERTATIH MELEBARKAN SAYAP
 



 Walaupun baharu berusia dua tahun, namun Sekolah Menengah Sains Batu Pahat (SEHEBAT) telah melangkah jauh untuk menimba pengalaman setanding dengan sekolah-sekolah lama yang ternama di Malaysia. Pengantarabangsaan adalah antara program Jalinan dan Jaringan kerjasama dua hala sekolah dan juga institusi bukan sekolah yang dilakukan oleh sekolah ini. Untuk menarafkan sekolah sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi suatu masa nanti, tiga asek lain yang perlu dipenuhi ialah Pengantarabangsaan Kurikulum, Pengantarabangsaan Kokurikulum dan Pengantarabangsaan Etos dan watak selain Pengantarabangsaan Jalinan dan Jaringan.

 
 
 

Setakat hari ini antara institusi bukan sekolah yang mempunyai hubungan jalinan kerjasama antarabangsa dengan SEHEBAT ialah KAIST (Korea Advanced Institute of Science Technology) Korea Selatan pada tahun 2012. Seramai 19 orang pelajar SEHEBAT bersama-sama dua orang guru telah mengunjungi KAIST untuk menjalinkan jalinan kerjasama selain memotivasikan mereka supaya belajar di universiti tersebut pada suatu masa nanti. Institut yang bercirikan kelengkapan moden dengan menyediakan kemudahan bas mesra alam iaitu menggunakan tenaga solar dan elektrik, menjadikan institusi tersebut antara institusi yang terbaik di Korea Selatan. Kesempatan mengunjungi Kedutaan Besar Malaysia di Korea Selatan dan mendapat motivasi daripada kaunselor di kedutaan amat bermakna dan membangkitkan semangat untuk belajar dalam kalangan pelajar SEHEBAT yang menyertai rombongan pada kali ini.

 
 
 
 
 

 
Pada bulan Jun 2013, BLCU (Beijing Language Culture University), Beijing, China pula dikunjungi oleh lebih kurang 14 orang pelajar SEHEBAT. Universiti yang menawarkan bidang bahasa ini mempunyai ramai pelajar yang berasal dari Malaysia dan menuntut dalam bidang bahasa Mandarin sebagai cara untuk mendapatkan tempat belajar di China. Ada juga antara mereka yang belajar di universiti ini dan menjadi guru bahasa Mandarin apabila tamat kelak. Kesempatan terbaik bagi pelajar-pelajar SEHEBAT apabila dapat mengunjungi Tembok Besar Negeri China dan Stadium Birdnest sebagai mercu tanda Beijing. Sebelum pulang, mereka sempat mengunjungi Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dan bertemu dengan Duta Besar. Datuk Duta memberikan penerangan tentang prospek kerjaya dan bidang tugas sebagai seorang duta menjadikan kunjungan ke rumah agam di tengah Bandar Beijing amat bermakna.
 
 
 
 
 

SEHEBAT juga mempunyai hubungan jalinan antarabangsa yang baik dengan Khatulistiwa Pendidikan Indonesia iaitu sebuah organisasi antarabangsa yang berpusat di Jakarta Indonesia dan merupakan institut pendidikan terbaik dalam memberikan perkhidmatan pendidikan yang berkualiti tinggi melalui berbagai-bagai kegiatan yang bersifat fleksibel, efektif, inovatif, kreatif, dan dinamik bagi guru dan dunia pendidikan terutama di Indonesia. Khatulistiwa Pendidikan Indonesia telah membawa beberapa orang Kepala Sekolah sewaktu berkunjung ke SEHEBAT pertama kali pada awal Februari 2013 antaranya ialah Sekolah Menengah Atas 1 Karawang, Jawa Tengah,Indonesia manakala dari Sulawesi Kepala Sekolah yang hadir adalah dari  Sekolah Menengah Atas Negeri 1 Konawe, Sekolah Menengah Atas Negeri 2 Konawe, Sekolah Menengah Atas Negeri 3 Konawe, Sekolah Menengah Atas Negeri 5 Konawe, Sekolah Menengah Atas Negeri 6 Konawe, Sekolah Menengah Kejuruan Negeri 1 Konawe, dan dari Jawa Barat pula ialah Madrasah Negeri 14, Jakarta, Indonesia.






Jaringan Antarabangsa bermaksud hubungan dua hala antara sekolah dengan sekolah yang dijalankan bertujuan untuk pertukaran kemahiran atau perkongsian maklumat bagi menambah baik enviromen sekolah. Pada tahun 2013, SEHEBAT telah mengadakan jaringan antarabangsa dengan Sekolah Menengah Kejuruan Negeri 1 Batam, Indonesia. Sekolah yang unggul bertaraf antarabangsa ini melahirkan cendekia Komputer dan Robotik. Sering memenangi pertandingan di peringkat antarabangsa menjadikan daya penarik untuk mengunjungi sekolah ini dan melihat sendiri kehebatan siswanya memasang, menghasilkan komputer riba, komputer tab, dan gajet yang terkini. Pengalaman sangat bernilai diperoleh di sekolah ini.




 
 
 
SEHEBAT juga mengunjungi Pondok Pesantren Al Kausar di Batam. Tujuan kunjungan ke sekolah ini adalah  untuk  memberikan sumbangan yang termampu kerana sekolah ini diusahakan sepenuhnya oleh seorang ustaz dan tidak mendapat apa-apa bantuan daripada pihak kerajaan. Sumber kewangan yang diterima adalah daripada sumbangan orang ramai dan juga hasil daripada penjualan ikan keli yang dipelihara. Dengan mengunjungi pesantren ini, sekurang-kurangnya dapat membuka  mata anak-anak tentang erti keselesaan dan kesyukuran nikmat Tuhan.

 
 
 

Kunjungan ke  Sekolah Menengah Atas Negeri 2 Dumai, Sumatera Indonesia juga turut dilakukan lewat tahun lalu. Kunjungan ke sekolah ini sebagai kunjungan balas daripada mereka. Menghabiskan masa hampir tiga hari di Dumai memberikan pengalaman baharu kepada pelajar-pelajar SEHEBAT. Mereka menghabiskan masa belajar bersama-sama dalam bilik darjah selain melakukan aktiviti kokurikulum pada sebelah petang. Mengunjungi tempat-tempat bersejarah di sekitar Dumai benar-benar memberikan pengalaman yang tiada tolok bandingannya.
 

 
 
 
 

Madrasah Aliyah Negeri Mojokerto dari Surabaya, turut membuat jaringan antarabangsa dengan SEHEBAT. Rombongan yang berkunjung ke SEHEBAT diketuai oleh Kepala Sekolah disambut dengan meriah. Guru dan pelajar-pelajar yang menyertai kunjungan tersebut menghabiskan masa dua hari di SEHEBAT. Beberapa aktiviti santai dirancangkan dan dilaksanakan bersama-sama termasuk perlawanan persahabatan futsal dan bola keranjang selain aktiviti memasak bersama-sama dan persembahan kebudayaan pada Malam Muhibah. Kunjungan balas telah dilakukan oleh SEHEBAT dan perkongsian pintar dan maklumat termeterai apabila masing-masing bersetuju untuk mengadakan pertukaran pelajar dalam masa terdekat.


 
Persatuan Bahasa Malaysia Sekolah Menengah Sains Batu Pahat buat pertama kalinya mengadakan pengantarabangsaan ke Vietnam. Kunjungan ke Lu Quy Don High School dan Ho Chi Minh City Union of Frienship amat memberi makna kepada ahli panitia kerana dapat melihat dan menimba banyak pengalaman baharu. Lu Quy Don High School adalah sekolah yang ke-19 terbaik dunia penarafan PISA. Pengalaman itu dapat dijadikan sebagai panduan untuk bertatih melebar sayap bagi mencapai visi sekolah iaitu Sekolah Menengah Sains Batu Pahat Unggul Bertaraf Dunia. AZBID

No comments:

Post a Comment