BERTATIH MELEBARKAN SAYAP
Setakat hari ini antara institusi bukan
sekolah yang mempunyai hubungan jalinan kerjasama antarabangsa dengan SEHEBAT
ialah KAIST (Korea Advanced Institute of Science Technology) Korea Selatan pada
tahun 2012. Seramai 19 orang pelajar SEHEBAT bersama-sama dua orang guru telah
mengunjungi KAIST untuk menjalinkan jalinan kerjasama selain memotivasikan
mereka supaya belajar di universiti tersebut pada suatu masa nanti. Institut
yang bercirikan kelengkapan moden dengan menyediakan kemudahan bas mesra alam
iaitu menggunakan tenaga solar dan elektrik, menjadikan institusi tersebut
antara institusi yang terbaik di Korea Selatan. Kesempatan mengunjungi Kedutaan
Besar Malaysia di Korea Selatan dan mendapat motivasi daripada kaunselor di
kedutaan amat bermakna dan membangkitkan semangat untuk belajar dalam kalangan
pelajar SEHEBAT yang menyertai rombongan pada kali ini.
Pada bulan Jun 2013, BLCU (Beijing Language
Culture University), Beijing, China pula dikunjungi oleh lebih kurang 14 orang
pelajar SEHEBAT. Universiti yang menawarkan bidang bahasa ini mempunyai ramai
pelajar yang berasal dari Malaysia dan menuntut dalam bidang bahasa Mandarin
sebagai cara untuk mendapatkan tempat belajar di China. Ada juga antara mereka
yang belajar di universiti ini dan menjadi guru bahasa Mandarin apabila tamat
kelak. Kesempatan terbaik bagi pelajar-pelajar SEHEBAT apabila dapat mengunjungi
Tembok Besar Negeri China dan Stadium Birdnest sebagai mercu tanda Beijing.
Sebelum pulang, mereka sempat mengunjungi Kedutaan Besar Malaysia di Beijing
dan bertemu dengan Duta Besar. Datuk Duta memberikan penerangan tentang prospek
kerjaya dan bidang tugas sebagai seorang duta menjadikan kunjungan ke rumah
agam di tengah Bandar Beijing amat bermakna.
SEHEBAT juga mempunyai hubungan jalinan
antarabangsa yang baik dengan Khatulistiwa Pendidikan Indonesia iaitu sebuah
organisasi antarabangsa yang berpusat di Jakarta Indonesia dan merupakan institut
pendidikan terbaik dalam memberikan perkhidmatan pendidikan yang berkualiti
tinggi melalui berbagai-bagai kegiatan yang bersifat fleksibel, efektif,
inovatif, kreatif, dan dinamik bagi guru dan dunia pendidikan terutama di Indonesia.
Khatulistiwa Pendidikan Indonesia telah membawa beberapa orang Kepala Sekolah
sewaktu berkunjung ke SEHEBAT pertama
kali pada awal Februari 2013 antaranya ialah Sekolah Menengah Atas 1 Karawang, Jawa
Tengah,Indonesia manakala dari Sulawesi Kepala Sekolah yang hadir adalah
dari Sekolah Menengah Atas Negeri 1 Konawe,
Sekolah Menengah Atas Negeri 2 Konawe, Sekolah Menengah Atas Negeri 3 Konawe, Sekolah
Menengah Atas Negeri 5 Konawe, Sekolah Menengah Atas Negeri 6 Konawe, Sekolah Menengah
Kejuruan Negeri 1 Konawe, dan dari Jawa Barat pula ialah Madrasah Negeri 14,
Jakarta, Indonesia.
Jaringan Antarabangsa bermaksud hubungan dua
hala antara sekolah dengan sekolah yang dijalankan bertujuan untuk pertukaran
kemahiran atau perkongsian maklumat bagi menambah baik enviromen sekolah. Pada
tahun 2013, SEHEBAT telah mengadakan jaringan antarabangsa dengan Sekolah
Menengah Kejuruan Negeri 1 Batam, Indonesia. Sekolah yang unggul bertaraf
antarabangsa ini melahirkan cendekia Komputer dan Robotik. Sering memenangi pertandingan
di peringkat antarabangsa menjadikan daya penarik untuk mengunjungi sekolah ini
dan melihat sendiri kehebatan siswanya memasang, menghasilkan komputer riba,
komputer tab, dan gajet yang terkini. Pengalaman sangat bernilai diperoleh di
sekolah ini.
SEHEBAT juga mengunjungi Pondok Pesantren Al
Kausar di Batam. Tujuan kunjungan ke sekolah ini adalah untuk memberikan sumbangan yang termampu kerana
sekolah ini diusahakan sepenuhnya oleh seorang ustaz dan tidak mendapat apa-apa
bantuan daripada pihak kerajaan. Sumber kewangan yang diterima adalah daripada
sumbangan orang ramai dan juga hasil daripada penjualan ikan keli yang
dipelihara. Dengan mengunjungi pesantren ini, sekurang-kurangnya dapat
membuka mata anak-anak tentang erti
keselesaan dan kesyukuran nikmat Tuhan.
Kunjungan ke
Sekolah Menengah Atas Negeri 2 Dumai, Sumatera Indonesia juga turut
dilakukan lewat tahun lalu. Kunjungan ke sekolah ini sebagai kunjungan balas
daripada mereka. Menghabiskan masa hampir tiga hari di Dumai memberikan pengalaman
baharu kepada pelajar-pelajar SEHEBAT. Mereka menghabiskan masa belajar
bersama-sama dalam bilik darjah selain melakukan aktiviti kokurikulum pada
sebelah petang. Mengunjungi tempat-tempat bersejarah di sekitar Dumai
benar-benar memberikan pengalaman yang tiada tolok bandingannya.
Madrasah Aliyah Negeri Mojokerto dari
Surabaya, turut membuat jaringan antarabangsa dengan SEHEBAT. Rombongan yang
berkunjung ke SEHEBAT diketuai oleh Kepala Sekolah disambut dengan meriah. Guru
dan pelajar-pelajar yang menyertai kunjungan tersebut menghabiskan masa dua
hari di SEHEBAT. Beberapa aktiviti santai dirancangkan dan dilaksanakan
bersama-sama termasuk perlawanan persahabatan futsal dan bola keranjang selain
aktiviti memasak bersama-sama dan persembahan kebudayaan pada Malam Muhibah.
Kunjungan balas telah dilakukan oleh SEHEBAT dan perkongsian pintar dan
maklumat termeterai apabila masing-masing bersetuju untuk mengadakan pertukaran
pelajar dalam masa terdekat.
Persatuan Bahasa Malaysia Sekolah Menengah
Sains Batu Pahat buat pertama kalinya mengadakan pengantarabangsaan ke Vietnam.
Kunjungan ke Lu Quy Don High School dan Ho Chi Minh City Union of Frienship
amat memberi makna kepada ahli panitia kerana dapat melihat dan menimba banyak
pengalaman baharu. Lu Quy Don High School adalah sekolah yang ke-19 terbaik
dunia penarafan PISA. Pengalaman itu dapat dijadikan sebagai panduan untuk
bertatih melebar sayap bagi mencapai visi sekolah iaitu Sekolah Menengah Sains
Batu Pahat Unggul Bertaraf Dunia. AZBID












